MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji
penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula
tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi
membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin
meningkat.
"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus
itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan
menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di
Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Rabu.
Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi
memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan
skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji
maksimum.
Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya
Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan
penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.
"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh
berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji
ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu
(kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya
pada tahun depan," katanya.